Beberapa buah bas RapidKL menunggu penumpang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena Belanjawan 2021 di Stesen Bas Pasar Seni, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan menganjurkan pameran memaparkan evolusi dan transformasi pengangkutan awam sempena ‘Dua Dekad Pengoperasian Rapid KL di Lembah Klang’.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, semua potret kejayaan dan inisiatif Rapid KL sepanjang tempoh itu akan dipaparkan dalam pameran tersebut.

Katanya, sambutan ulang tahun itu akan berlangsung selama dua hari bermula 9 dan 10 November 2024 di Raintree Plaza, Tun Razak Exchange (TRX), dari jam 10 pagi hingga pukul 10 malam.

“Sambutan ulang tahun ini bukan hanya menandakan perjalanan kami sebagai penyedia perkhidmatan awam, tetapi juga sebagai sebahagian daripada hidup warga kota yang mempercayai kami setiap hari.

“Mengimbas kembali perjalanan dua dekad ini, Rapid KL terus komited dalam memperkukuh kesalinghubungan pengangkutan awam di Lembah Klang.

“Pelbagai inisiatif dan pencapaian yang dilaksanakan telah memberi impak besar kepada kehidupan warga kota, menjadikan perjalanan harian mereka lebih mudah dan selesa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pelbagai aktiviti menarik bakal menanti pengunjung seperti pameran sejarah Rapid KL, pameran Projek LRT Laluan Shah Alam (LRT3), reruai Pemeriksaan Awam MRT3, serta reruai rakan strategik Pas MyTourist.

Pada masa sama katanya, mereka yang sedang mencari peluang pekerjaan, pameran itu juga menyediakan reruai kerjaya bersama Kumpulan Prasarana yang mana kakitangan modal insan akan bersedia untuk berkongsi maklumat.

“Selain itu, terdapat juga permainan tradisional lain seperti program MyRapid Junior, Malam Muzik Rapid KL, Akustik Bersama Rapid KL, dan Pesta Makanan Rapid KL.

“Ia melibatkan 49 gerai makanan dan minuman daripada peniaga tempatan yang mengukuhkan lagi dedikasi Rapid KL terhadap inisiatif Rapid KL Support Lokal.

“Kami menjemput semua warga kota mengambil kesempatan ini bersama-sama mengimbas kembali evolusi Rapid KL serta mengunjungi pameran dan reruai yang disediakan.

“Anda digalakkan menaiki perkhidmatan MRT ke Stesen TRX untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menikmati perjalanan yang lebih lancar”, jelasnya.

Mohd Azharuddin menambah, semua pameran itu sebagai peringatan dan menunjukkan Rapid KL komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, memenuhi keperluanperjalanan warga Lembah Klang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast