Suasana ahli keluarga selepas Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Penghantaran Kumpulan Pertama Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 United Nations di Lebanon, di Pangkalan Udara Subang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

SHAH ALAM – Penghantaran dan penugasan Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) ke Lubnan bagi misi pengaman tetap diteruskan walaupun konflik sedang melanda negara berkenaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penghantaran pasukan Malbatt 850-12 ke sana amat penting bagi membina reputasi sebagai negara yang berdisplin.

“Penglibatan kita sangat penting kerana ia mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited terhadap keamanan sejagat.

“Pada masa sama, kita membina reputasi sebagai sebuah negara yang konsisten dalam diplomasi dan penyelesaian konflik secara aman disebabkan itu kita teruskan,” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang selepas Majlis Penghantaran Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Lubnan (Unifil) Batalion Malaysia (Malbatt) 850 -12 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Malbatt 850-12 melibatkan 854 anggota terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota LLP termasuk tiga pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta seorang Pegawai Kewangan Awam dari Kementerian Pertahanan

Tambah Mohamed Khaled, sebelum penghantaran dilakukan, mereka telah melakukan persediaan dalam memastikan seluruh pasukan bersedia daripada sudut keselamatan, misi termasuk cabaran psikologi.

“Mereka telah menjalani latihan khusus selama tiga bulan merangkumi sebulan Latihan Satu Perkhidmatan dan dua bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama bertempat di Malbatt Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Pasukan ini akan dihantar secara berperingkat iaitu empat fasa dengan kumpulan pertama (hari ini) melibatkan seramai 220 anggota, 219 anggota (10 Nov), 207 anggota (14 Nov) dan 208 anggota (18 Nov),” jelasnya.

Jelasnya, pertukaran pasukan ini adalah kerana tempoh bertugas bagi Kontinjen Malbatt 850-11 telah tamat dan memerlukan penggantian Kontinjen Malbatt 850-12.

“Pertukaran ini dilakukan selepas mendapat arahan dari Force Commander Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sebelum meneliti faktor dan situasi yang melibatkan semua negara terbabit.

“Semua negara yang terlibat telahpun mendapat arahan untuk melakukan pertukaran ini mengikut jadual memang sepatutnya ditukar, tapi hanya masa dan tarikh yang perlu ditetapkan,” jelasnya.

Suasana semasa majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Penghantaran Kumpulan Pertama Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 United Nations di Lebanon, di Pangkalan Udara Subang. Foto AIZAT ZAINAL, 6 NOVEMBER 2024.

Mengulas mengenai kemungkinan kem pasukan Malbatt di Lubnan menjadi sasaran serangan Israel, Mohamed Khaled berkata, kem mereka tidak terdedah secara langsung kepada serangan darat.

Ini kerana kedudukan kem tersebut terletak di antara beberapa kem pasukan pengaman dari negara lain namun kebimbangannya adalah serangan udara.

Bagaimanapun, beliau bersyukur bentuk serangan itu difahamkan sudah dihentikan oleh pihak Israel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast