Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjelaskan semua peniaga yang memegang kad diskaun Rahmah dibenarkan untuk membeli bahan mentah untuk kegunaan mereka di Jualan Rahmah.

Menurut timbalan menterinya, Datuk Fuziah Saleh, KPDN telah menyelesaikan masalah penggunaan kad diskaun di pusat beli-belah yang menggunakan sistem yang berbeza-beza.

“Kita sudah mengatasi masalah tersebut dengan menawarkan kad diskaun Menu Rahmah kepada operator Menu Rahmah untuk mereka beli di Jualan Rahmah.

“Sebab sebelum ini Jualan Rahmah tidak boleh membekalkan kepada peniaga, melalui kad diskaun mereka boleh pergi ke Jualan Rahmah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Fuziah menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang ingin mengetahui status Kad Diskaun Rahmah yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata, langkah memperkenalkan penggunaan kad diskaun Rahmah itu di Jualan Rahmah merupakan pelaksanaan bagi melonggarkan syarat pembelian kepada peniaga Menu Rahmah bagi membeli barangan keperluan.

“Kalau dulu pembeli hanya dibenarkan ayam dua ekor, mungkin lebih kerana dia berniaga, beras dua peket dia boleh dapat lebih dengan menggunakan kad diskaun menu Rahmah di KPDN,” katanya lagi.

Untuk rekod, sebelum ini, peniaga tidak dibenarkan untuk membeli barangan keperluan di Jualan Rahmah dan hanya orang awam sahaja dibenarkan.

Sebelum ini, KPDN Selangor berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi pelaksanaan kad khas peniaga bagi pembelian dalam Jualan Ehsan Rahmah.

Pengarahnya, Mohd. Zuhairi Mat Radey berkata, ia merupakan langkah bagi menggalakkan semula Menu Rahmah dalam kalangan peniaga negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast