Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi menjelaskan penyasaran subsisi oleh kerajaan pada pertengahan tahun hadapan akan mengambil kira aspek pendapatan boleh belanja rakyat.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, pengkelasan  mana-mana golongan rakyat negara ini terutamanya T15 (berpendapatan tinggi) memperoleh subsidi RON95 juga mengikut kaedah ini  bagi memastikan hasrat kerajaan supaya hanya 85 peratus rakyat memperoleh subsidi berkenaan tercapai.

“Pengkelasan mereka (T15) layak atau tidak untuk menerima subsidi RON95 adalah berdasarkan kepada pendapatan boleh belanja bersih dan hasrat kerajaan adalah sehingga 85 peratus daripada isi rumah mengikut kaedah ini akan mendapat subsidi.

“Ia adalah lebih adil dan saksama, cuma di peringkat sekarang ia perlu diperhalusi kriterianya kerana hendak dilaksanakan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, petang tadi.

Justeru itu, Rafizi berkata, kementerianya dan Kementerian Kewangan sedang memperhalusi aspek pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 dan akan dibentangkan ke Jemaah Menteri, tidak lama lagi.

Untuk rekod, pendapatan boleh guna ialah pendapatan sebenar individu yang boleh dibelanjakan setelah ditolak semua potongan wajib.

Formula pendapatan boleh guna adalah seperti berikut = Pendapatan individu – potongan wajib.

Potongan wajib ialah bayaran yang ditetapkan oleh undang-undang atau diwajibkan dalam rukun Islam.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 boleh menjimatkan sehingga RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya.

Penjimatan itu nanti, katanya, akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak, membiayai pembangunan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam di negara ini.

Malah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, mekanisme Mykad atau e-dompet mungkin akan diguna dalam penyaluran subsidi RON95 kepada rakyat yang layak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast