Antara barang keperluan yang dikawal harga pada Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 di Nu Sentral, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup (KPDN) telah mengambil langkah awal dengan menambah bekalan barangan keperluan di kawasan-kawasan yang berisiko dilanda banjir.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu bagi memastikan pengguna yang terjejas dengan bencana banjir kelak tidak terputus bekalan barangan keperluan selain memastikan harga barangan keperluan terbabit tidak meningkat sehingga boleh membebankan rakyat.

Jelas beliau, Peruncit Terpilih Daerah (DDR) dan Pemborong Terpilih Daerah (DDW) juga telah dilantik bagi memastikan barangan keperluan di kawasan-kawasan tertentu termasuk yang berisiko dilanda banjir sentiasa mencukupi.

“Kita tahu bahawa harga barangan ini terkait dengan aspek penawaran dan permintaan, jadi salah satu pendekatan yang kita laksanakan adalah memastikan bekalan itu ada di semua kawasan.

“Jadi dengan adanya pendekatan tersebut dan bekalan sentiasa mencukupi, kita harap dapat mengekang isu kenaikan harga,” katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Menara MyIPO, di sini, hari ini.

Armizan ditanya berkenaan kebimbangan pengguna terhadap kemungkinan harga barang akan meningkat susulan fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

Minggu lalu, harga sayur-sayuran dilaporkan meningkat antara 10 hingga 20 peratus dan menurut Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, keadaan cuaca buruk menyebabkan bekalan sayur berkurangan sehingga 15 peratus berikutan pengeluaran hasil di ladang terjejas termasuk faktor banjir.

Tambah Ser Kwee, kenaikan harga sayur berikutan bekalan yang terjejas dijangka berterusan sehingga musim Monsun Timur Laut (MTL) bulan hadapan.

Sementara itu, Armizan berkata, pegawai KPDN juga memantau setiap hari di lapangan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan turut meningkatkan dan memperluaskan pelaksanaan program Jualan Rahmah bagi membolehkan lebih ramai rakyat mempunyai akses kepada barangan keperluan yang dijual pada harga lebih murah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast