Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Permohonan reprentasi membatalkan dua kes hasutan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor masih belum diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) setakat ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh pasukan pendakwaan kes berkenaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dekat sini hari ini.

Muhammad Sanusi didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Muhammad Sanusi mengemukakan representasi kedua selepas representasi pertamanya ditolak AGC pada Mei lalu.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah sebelum ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Beliau didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai tahun lalu.

Jika sabit salah kedua-dua kesalahan itu boleh membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya mengikut  Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Untuk makluman, tahun lalu sekitar September, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast