KUALA LUMPUR – Tiada perbincangan rasmi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setakat ini berhubung kerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ketika ini, perbincangan hanya menjurus ke arah memperkukuhkan parti tersebut selain terus melaksanakan mandat sebagai kerajaan negeri seperti yang diamanahkan rakyat.
Sehubungan itu, ujar beliau, GRS tidak terkesan dengan sebarang kenyataan yang dibuat oleh mana-mana parti politik menjelang PRN Sabah dan menganggap ia sebagai proses demokrasi.
“Kita terima baik apa-apa bentuk pengumuman daripada mana-mana parti politik, yang penting di peringkat GRS sekarang adalah untuk kita laksanakan mandat rakyat sebelum PRN.
“(Kita) buat kerja dulu. Saya boleh sahkan sebagai Timbalan Setiausaha Agung GRS, belum ada perbincangan rasmi di peringkat GRS tentang kerjasama dengan pihak lain (menjelang PRN Sabah),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) iaitu agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Menara MyIPO di sini, hari ini.
Armizan ditanya berhubung kesediaan GRS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Sabah susulan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam yang mana parti itu tidak menutup pintu kepada mana-mana gabungan atau parti untuk bekerjasama dalam PRN tersebut.
Tambah Ahmad Zahid, mesyuarat sekretariat Kerajaan Perpaduan yang diadakan baru-baru ini telah memutuskan kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) akan diperkukuhkan di peringkat negeri, termasuk di Sabah.
Sementara itu, Armizan yang juga Menteri KPDN berkata, GRS juga tidak terikat dengan Kerajaan Perpaduan ketika ini seperti mana yang sering dirujuk oleh beberapa pihak untuk parti tersebut meneruskan kerjasama serupa pada PRN Sabah akan datang.
Ini kerana, jelas beliau, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan sebelum ini tercapai selepas pilihan raya umum dan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani parti-parti politik terlibat pada Disember 2022 juga jelas menyatakan mana-mana negeri tidak wajib mengikuti pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri masing-masing.
“Dalam konteks di Sabah, lain padang lain belalang…di Pusat, itu Pusat, di negeri, itu negeri.
“Di Sabah, Kerajaan Perpaduan sekarang adalah antara GRS dan PH Plus, jadi komitmen kita pada masa ini adalah memastikan mandat rakyat melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS dan PH perlu ditunaikan dulu,” katanya.
Bagaimanapun, jelas beliau, GRS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang boleh menerima dan mahu bekerjasama dengan parti tersebut.
“Kalau mahu kerjasama pun, kerjasama dengan orang yang mahu kerjasama dengan kita…bukan orang yang benci kita dan bukan orang yang maki hamun kita, kalau kerjasama dengan orang seperti itu, jadi tidak jadi manis,” katanya. – MalaysiaGazette