Penguat kuasa JKM melihat lubang pembetungan sedalam lebih satu meter yang dipenuhi air dan hanya ditutup dengan pelapik getah nipis sekali gus memperjudikan nyawa 14 bayi dan kanak-kanak. di sebuah Taska haram sejak lebih dua tahun lalu di Batu Berendam, Melaka.

MELAKA – Sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Batu Berendam di sini bukan sahaja beroperasi secara haram sejak lebih dua tahun lalu, malah ibarat ‘perangkap nyawa’ buat kanak-kanaknya.

Ini dapat dilihat dengan kewujudan lubang pembetungan sedalam lebih satu meter yang dipenuhi air dan hanya ditutup dengan pelapik getah nipis sekali gus memperjudikan nyawa 14 bayi dan kanak-kanak.

Tidak cukup dengan itu, kawasan tanah lapang juga dibiarkan semak sehingga berisiko menjadi sarang haiwan berbisa seperti ular selain terdapat sebuah kereta terpakai terbiar merisikokan kecederaan kepada kanak-kanak.

Malah, pintu pagar belakang Taska yang bersebelahan sebuah longkang besar juga dibiarkan tidak berkunci sekali gus meningkatkan risiko lemas dan dihanyutkan arus deras sekiranya terjatuh.

Halyjah Muhammad

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Melaka Halyjah Muhammad berkata, semakan mendapati, Taska berkenaan bukan sahaja menyediakan persekitaran berbahaya buat kanak-kanak malah tidak berdaftar dengan JKM sejak lebih dua tahun lalu.

“Jadi hari ini, kita terpaksa mengambil tindakan lak (notis sita) kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Taman Asuhan Kanak- 1984 dan Peraturan Taman Asuhan Kanak2-kanak 2012 serta Akta Pusat Jagaan 1993 dan Peraturan-peraturan Pusat Jagaan 1994.

“Selain di sini, terdapat lebih 10 lagi Taska haram di Melaka yang sedang dalam tindakan kita untuk disita sepanjang bulan ini,” katanya pada sidang media selepas mengetuai operasi lak di Batu Berendam di sini hari ini.

Halyjah mengetuai operasi sitaan sebuah Taska yang beroperasi secara haram sejak lebih dua tahun lalu di Batu Berendam, Melaka hari ini.

Mengulas lanjut Halyjah berkata, JKM akan turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengenakan tindakan terhadap pengusaha perniagaan itu.

“Antara alasan diberikan pengusaha degil dan tamak ini adalah kerana mereka tidak nampak apa-apa tindakan tegas dari kita selain perniagaan Taska ini mendapat permintaan sangat tinggi daripada ibu bapa.

“Ada juga yang dakwa dikenakan kos tinggi untuk pendaftaran dengan agensi-agensi berkaitan, selain bayaran kepada perunding sedangkan isu itu tidak sepatutnya timbul dan bukannya memilih cara tamak beroperasi dulu dan bayar kemudian,” tegasnya lagi.

Halyjah menampal notis sitaan sebuah Taska yang beroperasi secara haram sejak lebih dua tahun lalu di Batu Berendam, Melaka hari ini.

Tambahnya lagi, ibu bapa juga diharap dengan tidak menghantar kepada mana-mana Taska yang tidak berdaftar di negeri ini dengan alasan mahu Taska berhampiran rumah kerana tindakan itu hanya akan menambahkan lagi kewujudan Taska haram di negeri ini.

“Berdasarkan statistik terkini, jumlah Taska berdaftar JKM di Melaka adalah sebanyak 135 buah manakaka Pusat Jagaan pula adalah 117 buah.

“Pada tahun lalu, sebanyak 37 Taska dan Pusat Jagaan telah diambil tindakan penguatkuasaan manakala tahun ini angka itu meningkat kepada 65 buah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast