TEHRAN – Sebuah mahkamah di Iran menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga individu setalah didapati bersalah terlibat dalam pembunuhan saintis, Mohsen Fakhrizadeh pada November 2020, kata jurucakap badan kehakiman negara itu.
Asghar Jahangir mendakwa, rejim zionis turut terlibat dalam aktiviti tersebut dengan mengenal pasti dan membunuh saintis tersebut.
Beliau berkata, angkatan keselamatan Iran telah memantau ‘elemen pengintipan’ di wilayah berbeza dan telah menahan lapan individu di wilayah barat laut Azerbaijan Barat.
Jurucakap itu memberitahu, tiga individu yang ditahan itu dibicarakan kerana mengintip untuk pihak zionis dan dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah memindahkan peralatan yang digunakan untuk membunuh Fakhrizadeh.
Fakhrizadeh merupakan saintis pertahanan dibunuh di sebuah bandar kecil di timur Tehran pada 27 November 2020.
Terdahulu, seorang Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRCG) berkata, mesingan yang dikawal satelit yang menggunakan kecerdasan buatan digunakan dalam serangan tersebut.