logo mahlamah

CHUKAI – Seorang lagi suspek dipercayai terlibat dalam kes mengemukakan senarai nama penerima zakat tidak layak kepada sebuah badan kebajikan swasta April lepas, direman enam hari.

Menurut sumber, perintah reman terhadap lelaki berusia 50-an yang juga timbalan pengerusi masjid itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Mahkamah Majistret Kemaman di sini hari ini.

Suspek ditahan pada 12.30 tengah hari semalam selepas hadir memberikan keterangan di pejabat SPRM Kemaman.

“Suspek ditahan atas kesalahan mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang palsu kepada sebuah badan kebajikan daripada syarikat swasta di Kerteh untuk melayakkan isterinya menerima zakat wakalah sumbangan syarikat berkenaan.

“Perintah reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah. Reman enam hari dibenarkan mahkamah terhadap suspek yang akan ditahan di Lokap Balai Polis Chukai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” menurut sumber itu.

Semalam, pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid dilaporkan tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membuat beberapa tangkapan susulan bagi membantu siasatan ekoran penahanan pengerusi masjid yang sama atas kesalahan serupa.

Pengerusi masjid yang juga pekerja di syarikat swasta itu ditahan SPRM Isnin lepas kerana disyaki mengemukakan senarai asnaf termasuk individu tidak layak menerima agihan zakat berkenaan iaitu isterinya yang menerima RM1,000.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast