Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk S. Sasikala Devi.

KUALA LUMPUR – Seramai 14 warga China ahli sindiket penipuan pelaburan dalam talian ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Hulu Kelang, Ampang pada 29 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 9.30 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Dalam serbuan itu, beberapa barangan telah dirampas antaranya 151 telefon bimbit pelbagai jenama, wayar pengecas (empat), modem, router, ipad, komputer riba (tiga), jam tangan mewah, pelbagai kepingan wang kertas (15) dan setangkai kunci

“Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120b Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sindiket itu disyaki beroperasi sebagai calling center dan kesemua suspek berperanan sebagai khimat pelanggan dalam skim penipuan pelaburan atas talian.

Katanya lagi, kesemua suspek telah dikenakan reman selama tujuh hari dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan kini direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama 14 hari.

“Tindakan berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan ini disaran menyalurkan maklumat dengan menghubungi mana-mana balai dan ibu pejabat polis berhampiran,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast