GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan lapan premis makanan termasuk dua nasi kandar sekitar bandaraya ini ditutup 14 hari selepas pemeriksaan membawa kepada penemuan najis tikus serta lepas di premis tersebut hari ini.
Pengerusi Gantian Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang berkata, pemeriksaan dilakukan ke atas sembilan premis namun lapan daripadanya didapati gagal menepati piawai kebersihan yang ditetapkan.
Jelas beliau, pemeriksaan itu dilakukan bukan bagi menjejaskan peniagaan mana-mana pihak sebaliknya untuk menekankan kepentingan mengamalkan kebersihan dalam penyediaan makanan.
“Kita lakukan pemeriksaan secara menyeluruh di bahagian dapur, tempat penyimpanan makanan serta stor sebelum menemui najis tikus di beberapa lokasi.
“Selain najis tikus, ada premis yang kita periksa membawa kepada penemuan lipas di bahagian rak air,” katanya kepada pemberita sebaik selepas operasi hari ini.
Dalam perkembangan sama, Soo Siang memaklumkan sebanyak 52 premis makanan diarah tutup MBPP sejak Januari hingga hari ini.
“Penutupan itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin dan rawak oleh pegawai MBPP untuk memastikan premis makanan termasuk restoran mematuhi piawai kebersihan agar kesihatan pelanggan terjamin,” katanya. – MalaysiaGazette