KUALA LUMPUR – Polis telah membuat tangkapan terhadap seorang anggota tentera bersama dadah di ibu negara, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, suspek ditangkap oleh anggota unit peronda dari Balai Polis Jinjang kira-kira jam 3.30 pagi.
“Siasatan mendapati suspek ditangkap di hadapan sebuah restoran yang terletak di Taman Kok Lian, Jalan Ipoh di sini.
“Semakan menunjukkan suspek merupakan seorang lelaki berusia 37 tahun yang bertugas sebagai anggota tentera.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek membawa kepada penemuan beberapa jenis dadah iaitu Methamphetamine several 6.75 gram, Nitrazepam 38.39 gram (31 biji pil berwarna putih) dan Pil Yaba 1.49 Gram,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut Jasni, suspek yang dilibatkan dengan ujian saringan air kencing disahkan positif dadah jenis methaphetamine dan amphetamine.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek memiliki dadah berkenaan untuk kegunaan sendiri.
Tambahnya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga esok untuk membantu siasatan polis.
Jasni berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun dan juga dikenakan hukuman sebat jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette