PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan menyerah kepada seorang ahli perniagaan yang ‘mencuba nasib’ mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan agar membayar ganti rugi sebanyak RM1.3 juta berkaitan Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri ‘Madani’.
Menterinya, Anthony Loke berkata, ini kerana kuasa untuk mendaftarkan sebarang nombor pendaftaran kenderaan terletak di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan terletak di bawah Menteri Pengangkutan.
“Jadi apa-apa kelulusan berkenaan nombor pendaftaran istimewa mestilah melalui Menteri Pengangkutan. Tiada soal bahawa mana-mana pihak boleh hak cipta intelek terhadap apa-apa nombor pendaftaran istimewa itu.
“Lagipun kita sudah periksa dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), apa yang hak cipta itu ialah kertas kerja itu sahaja, bukannya nombor plat.
“Tapi saya pun tidak tahu apa kertas kerja ilmiah, buat nombor pendaftaran (kenderaan) pun ada kertas kerja ilmiah ke?,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Cahaya Kasih Madani & Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini
Selasa lalu, seorang ahli perniagaan mengemukakan surat tuntutan kepada kerajaan supaya membayar ganti rugi RM1.3 juta berhubung dakwaan penyalahgunaan dan pelanggaran harta intelek bagi Program Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri ‘Madani 1 sehingga Madani 9999.
Pengarah Program Ilham Madani Sdn Bhd, Hasan Azhari Hashim, mengemukakan surat tuntutan itu (LOD) melalui serahan tangan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan melalui firma guaman Raj & Sach semalam.
LOD itu menyatakan Hasan Azhari pemilik sah karya hak cipta ‘Kertas Kerja Mewujudkan Nombor Plat Khas Kenderaan Bersiri Madani 1 Sehingga Madani 9999 Untuk Didaftarkan Di Malaysia’ yang didaftarkan secara sah ke dalam Daftar Hak Cipta mengikut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987.
Surat itu menyatakan beliau adalah pemunya dan pencipta kepada hak cipta itu di bawah No Pemberitahuan: CRYL2023J00697 daftar berkenaan.
Pada 24 Oktober lalu, media melaporkan harga keseluruhan bidaan Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri MADANI ditutup dengan kutipan sebanyak RM2.6 juta. – MalaysiaGazette