Lebuhraya Pan Borneo masih dalam pembinaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL, 19 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mendedahkan kepada Dewan Rakyat hari ini bahawa terdapat pelanggaran tatakelola dalam penganugerahan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Fasa 1B.

Beliau yang bangun semasa penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat mendakwa, dua syarikat yang mendapat kontrak tersebut sememangnya tidak melepasi proses pra-kelayakan bagi projek berkenaan.

“Jabatan Kerja Raya Sabah mengesyorkan lapan syarikat yang layak kepada pejabat KKR.

“KKR mencadangkan salah satu syarikat yang disyorkan oleh JKR negeri Sabah, malangnya syarikat yang tidak layak langsung ini diminta oleh pihak tertentu untuk dikeluarkan SST (Surat Setuju Terima).

“Berdasarkan tatakelola Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kewangan ini merupakan satu pelanggaran yang besar dan memalukan JKR Sabah.

“Mereka dipaksa untuk mengeluarkan SST kepada syarikat yang tidak layak yang telah ditolak. Apakah menteri tahu mengenai perkara ini kerana surat diminta SST dikeluarkan adalah Timbalan Ketua Setiausaha JKR,” tanya Bung Moktar kepada Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2024.

Menjawab perkara itu, Alexander berkata, keputusan untuk memilih satu-satu syarikat kontraktor untuk projek tersebut adalah di pihak Kementerian Kewangan (MOF) dan permintaan untuk menggugurkan penganugerahan itu adalah di luar bidang kuasa kementeriannya.

“Dari peringkat awal, prakelayakan ditawarkan kepada semua syarikat, yang mengambil bahagian termasuk (syarikat yang dianugerahkan) untuk pakej WB32.

“Apabila proses menilai di peringkat JKR Sabah dihantar ke Lembaga Perolehan di peringkat KKR pusat, dalam jawatankuasa KSU, KKR, MOF dan KP JKR bersama untuk WP32 ini diangkat disyorkan oleh KKR dalam perolehan KKR kepada MOF mengikut yang dihantar ke Sabah.

“Bila kita terima maklum oleh MOF, (syarikat yang dianugerahkan) yang disyorkan kepada kami, JKR Sabah, mengapa? Kena tanya MOF,” jawab Alexander.

Sebelum itu, Alexander berkata, projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) Fasa 2 kini di peringkat pengambilan balik tanah oleh pihak Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.

Alexander (GPS-Kapit) berkata, pembersihan tapak oleh kontraktor di beberapa kawasan yang sudah selesai urusan pengambilan tanah juga sedang dilaksanakan dan tempoh pelaksanaan projek ini dijangka selama lima tahun.

Untuk rekod, Projek LPB Fasa 1B melibatkan kerja-kerja menaiktaraf jalan dari Telipud ke Kampung Lumou Baru (WP32). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast