Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Tuntutan royalti terumatanya dalam kalangan penggiat seni tempatan akan ditambah baik dengan pewujudan Garis Panduan Pengoperasian Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya ketika ini sedang memuktamadkan perkara itu.

Katanya, menurut Seksyen 27M di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332), KPDN berhak untuk memperkemas elemen pengoperasian, tatakelola dan tadbir urus CMO.

“Garis panduan ini amat penting sekiranya berlaku pelanggaran terhadap syarat penubuhan CMO yang berada dibawah Akta Hak Cipta 1987. Kami sedang memuktamadkannya.

“Insyallah pada Disember (tahun ini) akan selesai dan KPDN akan hebahkannya kepada semua dan kita harap dapat dikuat kuasakan pada April 2025,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kasih MADANI di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali memberikan sumbangan kepada penggiat senia dalam Majlis Sentuhan Kasih MADANI di sini hari ini.

Pada masa sama, KPDN bercadang mewujudkan satu CMO tunggal bersama pemain industri seni seperti pemegang taruh dan persatuan artis.

Ia bagi menambah baik pengurusan tuntutan royalti di bawah Akta Hak Cipa 1987 selain mengambil kira faktor termasuk pandangan yang disuarakan para penggiat seni.

“Komitmen ini bersandarkan kepada fungsi KPDN dan kita mendengar pelbagai aduan daripada penggiat seni, pemilik berkaitan pembayaran royalti ini ada beberapa faktor melibatkan tatakelola, dakwa bayaran royalti yang rendah.

“Dari segi pengguna karya hak cipta muzik pula mengatakan kadar tarif yang tinggi kerana kewujudan pelbagai CMO dan membuatkan mereka sukar untuk berurusan,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan, KPDN telah mengagihkan hasil royalti tertunggak kepada penggiat seni yang berdaftar di bawah Performers Rights and Interest Society of Malaysia (PRISM).

Sejumlah RM2,040,846.84 hasil royalti ahli PRISM tersedia untuk diberikan kepada 495 ahli yang layak berdasarkan penggunaan lagu pada tahun 2018.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM339,058.57 baki masih belum dituntut oleh 164 penggiat seni dan seramai 25 orang daripadanya telah mengemukakan maklumat kepada MyIPO.

“Kita juga telah menubuhkan task force melibatkan KPDN dan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mencari mereka (artis berdaftar).

“Alhamdulilah, 25 penggiat seni hari ini akan menerima pembayaran royalti dalam masa terdekat hasil tuntutan yang dilakukan,” ujarya.

Difahamkan, pengisytiharaan PRISM sebagai salah satu CMO di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) telah dibatalkan pada 3 April 2019 kerana tidak lagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah akta tersebut.

Susulan itu, isu tunggakan bayaran royalti PRISM bagi penggunaan lagu pada tahun 2018 kemudiannya diselia oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl).- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast