Thursday, November 21, 2024
Home Nasional GISBH didakwa jenayah terancang berdasarkan Kanun Keseksaan – KDN

GISBH didakwa jenayah terancang berdasarkan Kanun Keseksaan – KDN

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 12 lagi lelaki dibawa ke mahkamah hari ini untuk didakwa di bawah pertuduhan mengikut Akta 130V (1) ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 23 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Azura Md Yusof dan 20 yang lain dikenakan pertuduhan jenayah terancang selepas polis menemui beberapa kriteria di bawah Seksyen 130B Kanun Keseksaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu Dewan Rakyat, beberapa kriteria tersebut menepati untuk mereka dituduh atas kesalahan tersebut.

“SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) ini kita kenakan ke atas beberapa pimpinan Global Ikhwan berdasarkan kepada siasatan di bawah Seksyen 130B Kanun Keseksaan iaitu jenayah terancang.

“Elemen yang pertama, pelakunya lebih daripada dua orang. Kedua ia membabitkan satu objektif dan di sini eksploitasi kanak-kanak dan ketiga ada elemen segi keuntungan material.

“Jadi pada pertimbangan polis, siasatan ini mengikut jalur Seksyen 130B Kanun Keseksaan, membolehkan kegiatan ini ditafsirkan sebagai kumpulan jenayah terancang,” katanya di Dewan Rakyat.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), RSN Rayer (PH-Jelutong), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), William Leong (PH-Selayang) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (BN- Kalabakan).

Pada 23 Oktober 2024, Nasiruddin dan isteri, Azura Md Yusof antara 22 individu dituduh menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang.

Bagaimanapun, Nasiruddin dan 21 tertuduh hanya mengangguk faham atas pertuduhan yang dibacakan.
Kesemua tertuduh didakwa dibawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan [Akta 574] yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan kesemua mereka didapati melakukan kesalahan itu diantara Oktober 2020 hingga September 2024 di 33-G Jalan Desa 9/6 Bandar Country Homes Rawang dalam Daerah Gombak, Negeri Selangor.
Selain Nasirudin dan isteri, turut dituduh anak kepada bekas pengasas kumpulan Al-Arqam, Ashaari Muhammad, Mohammad Adib At-Tamimi.
Pada 10 Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast