PUTRAJAYA – Proses merakam keterangan pasangan pengasas platform e-dagang FashionValet disambung hari ini bagi membantu siasatan berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Datin Vivy Yusof dan suaminya Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dilihat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, jam 2.33 petang dengan menaiki MPV hitam yang dipandu pemandu peribadi.
Pasangan tersebut kelihatan tenang ketika pengamal media mendekati kenderaan mereka untuk merakam wajah dan cuba mendapatkan respons.
Bagaimanapun, Vivy dan suaminya tidak memberi sebarang reaksi serta tanpa memandang pemberita, pasangan tersebut keluar dari kenderaan dan terus masuk ke bangunan SPRM.
Semalam, pasangan tersebut dilihat menaiki kenderaan bersama pegawai penyiasat meninggalkan ibu pejabat SPRM jam 4.23 petang selepas memberi keterangan selama tiga jam.
Pihak media difahamkan, pegawai penyiasat SPRM itu menaiki kereta Vivy dan suami untuk dibawa ke kediaman pasangan tersebut di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
Malam tadi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pasukan penyiasatnya menggeledah kediaman pasangan itu jam 5.30 petang semalam.
Hasilnya, pasukan penyiasat SPRM menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.
Dalam serbuan melibatkan 12 pegawai penyiasat itu turut disertai oleh peguam pengasas FashionValet tersebut.
Pengeledahan di premis pasangan itu berakhir sekitar jam 8 malam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pembongkaran di premis tersebut dan menyatakan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.-MalaysiaGazette