Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin menafikan beliau dan semua pengarah kastam mengadakan perjumpaan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Genting Highlands seperti yang dtularkan di media sosial.

Menurut beliau, pada tarikh 6 hingga 8 November ini, berlangsung Persidangan Integriti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKMD) Se-Malaysia 2024 anjuran oleh Cawangan Integriti di sebuah hotel di tempat peranginan itu.

“Sejak tahun 2017, Persidangan Integriti JKDM Se-Malaysia telah menjadi acara tahunan JKDM yang diadakan bersempena Hari Integriti Nasional.

“Pada tahun ini, Persidangan Integriti JKDM Se-Malaysia 2024 menampilkan agenda utama iaitu Ikrar Bebas Rasuah (IBR), yang disaksikan oleh wakil daripada SPRM sebagai komitmen JKDM dalam memerangi rasuah.

“Pengisian persidangan ini merangkumi forum dan pembentangan kertas kerja oleh panelis daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM, JKDM dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkenaan budaya integriti dalam penguatkuasaan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan penjelasan ini, beliau mahu sebarang kekeliruan atau spekulasi yang tidak berasas berhubung perkara tersebut dapat dihentikan serta-merta.

Terdahulu tular satu hantaran di sebuah halaman di Telegram mendakwa Ketua Pengarah Kastam dan pengarah JKDM mengadakan pertemuan bersama Tan Sri Azam Baki di Genting Highlands.

Anis Rizana berkata, sebagai agensi pemungut hasil negara, menyediakan fasilitasi perdagangan dan menguatkuasakan undang-undang, JKDM kekal komited untuk memastikan integriti menjadi teras dalam setiap aspek perkhidmatan.

“JKDM sentiasa berusaha menangani penyebaran sebarang bentuk surat, emel, berita ataupun apa-apa kenyataan palsu yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Mengulas mengenai Persidangan Integriti JKDM Se-Malaysia 2024 itu, beliau berkata persidangan bertemakan Integriti Aspirasi Kastam Bermaruah sudah dirasmikan pada pagi tadi.

Persidangan ini bertujuan membudayakan amalan integriti dalam kalangan pegawai JKDM di seluruh negara serta memperkukuhkan semangat nilai-nilai murni yang akan menjadi asas perkhidmatan yang telus dan berwibawa.

Objektif persidangan ini bagi memupuk budaya integriti dalam kalangan warga JKDM dalam pelaksanaan tugas harian serta sebagai platform untuk menyalurkan informasi serta perkongsian amalan terbaik untuk memperkasa budaya integriti.

“Di samping itu, persidangan ini memberi ruang kepada pegawai-pegawai JKDM untuk membincangkan isu-isu semasa serta cabaran dalam memperkukuhkan integriti selaras dengan nilai Cekap, Tangkas dan Berintegriti (CTI) dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Pegawai Kastam,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast