KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengutip saman lebih RM1.87 juta melibatkan 17,002 saman dalam tempoh dua hari.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kutipan itu diperoleh menerusi Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus JSPTKL yang bermula 5 November hingga semalam.
“Daripada kutipan RM1.878 juta yang direkodkan, seramai 3,100 orang telah membuat pembayaran secara tunai dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM270,850.
“Manakala pembayaran secara atas talian (e-payment) catat kutipan RM882,340 dan bayaran menggunakan kupon 50 peratus pula peroleh sebanyak RM725,430” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas meninjau Balai Polis Trafik Tun HS Lee bagi pelaksanaan Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman sehingga 50 peratus, hari ini.
Katanya, bagi hari pertama program itu dilaksanakan RM841,390 bayaran saman berjaya dikutip melibatkan 7,677 saman manakala semalam, jumlah kutipan meningkat kepada RM1.37 juta untuk bayaran 9,324 saman.
“Program ini dilaksanakan bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan sambil mendidik masyarakat mematuhi peraturan jalan raya selain memberi peluang untuk membaiki diri dengan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Pengurangan saman juga adalah satu langkah proaktif bagi mengurangkan kemalangan jalan raya. Bayar saman tepat pada waktunya untuk kelancaran dan terhindar daripada hukuman lebih berat.
“Kepatuhan membayar saman menunjukkan tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya dan disiplin ini membantu menciptakan lalu lintas yang aman untuk semua,” jelasnya.
Beliau menambah, tawaran diskaun itu tidak termasuk bagi saman kemalangan, saman bicara mahkamah, kategori tidak boleh kompaun, memotong secara berbahaya, kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan langgar lampur isyarat.
Kesalahan berkaitan kenderaan berat, pengubahsuaian ekzos, saman berstatus Op Selamat dan kesalahan memotong di garisan berkembar turut tidak termasuk dalam tawaran berkenaan.
Mohd Yusri menambah, bagi kemudahan orang ramai, pihak JSPTKL menyediakan 10 khemah serta membuka 15 kaunter semakan, pinda dan bayaran saman termasuk 14 mesin e-bayaran.
Selain itu, khemah turut menempatkan kaunter MyBayaran Saman, tiga kaunter untuk orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan ibu mengandung serta 350 kerusi menunggu. – MalaysiaGazette