Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Malaysia komited dalam memperkukuh sektor kewangan Islam sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kewangan Islam kini menjadi keutamaan strategik yang menyokong pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.

“Kewangan Islam telah menunjukkan ketahanan yang luar biasa dan memainkan peranan penting dalam memupuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

“Ini disebabkan kepatuhan kewangan Islam kepada prinsip keadilan, kesaksamaan dan kemakmuran bersama yang menawarkan penyelesaian kewangan beretika dan inklusif untuk memenuhi keperluan masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-19 (KLIFF 2024), di sini, hari ini.

Menurut Mohd Na’im, peruntukan RM100 juta oleh kerajaan dalam Belanjawan Madani 2025 untuk dana padanan bertujuan merangsang inovasi dalam produk kewangan Islam.

Usaha ini, katanya, bukan sahaja untuk memperkenalkan produk baharu yang beretika tetapi juga untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk patuh Syariah yang menyerupai sistem konvensional.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan penting yang dimainkan oleh penasihat syariah dalam memastikan kewangan Islam kekal berintegriti, serta memastikan produk kewangan terus mematuhi prinsip Syariah, terutama ketika industri ini terus berkembang dan menjadi lebih kompleks.

“Mereka semua adalah penasihat yang memikul amanah memastikan produk dan instrumen kewangan Islam mematuhi prinsip Syariah.

“Ia secara tidak langsung akan memperkukuh keyakinan di kalangan pelabur, pihak berkepentingan dan orang ramai terhadap ketulenan dan pematuhan kewangan Islam,” ujarnya.

Beliau berpendapat Malaysia perlu menyelaraskan rangka kerja nasihat Syariah dengan amalan terbaik antarabangsa sambil mengekalkan asas institusi Penasihat Syariah, seiring dengan usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.

“Terdapat keperluan mendesak untuk menyelaraskan piawaian merentas sempadan dan bekerjasama dengan sarjana Syariah di seluruh dunia bagi memastikan kewangan Islam bukan sahaja relevan tetapi juga memberi impak pada skala global,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast