KAJANG – Seorang mekanik mengaku salah terhadap tuduhan menggunakan kata-kata kesat selain berkelakuan mengganggu keamanan terhadap seorang pekerja tol di plaza Batu 9 di sini baru-baru ini.
Tertuduh, Abdul Rahim Ramlan membuat pengakuan di hadapan Majistret Mahkamah Kajang, Nurul Hafzan Ab Aziz selepas pertuduhannya dibacakan jurubahasa hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, pada 3 November lepas sekitar jam 1.38 pagi bertempat di lorong tol T22, Plaza Tol Batu 9, Taman Cuepacs, Cheras telah menggunakan perkataan kurang sopan terhadap mangsa wanita dengan tujuan mengganggu keamanan.
Kesalahan ini boleh dihukum bawah Sesyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Ketika prosiding pagi ini, tertuduh yang hadir dengan tangan bergari memohon supaya mahkamah dapat mengurangkan hukuman terhadap kesalahan itu walaupun Timbalan Pendakwa Raya, Rinisha Priyya Kuna Sakar memohon tindakan tegas sebagai pengajaran.
Majistret Nurul Hafzan kemudian menetapkan denda RM100 dan jika gagal membayar jumlah itu, penjara selama sehari.
Sebelum itu, Abdul Rahim juga telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan bawah Sesyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya kerana didapati positif dadah jenis methamphetamine ketika tangkapan.
Bagaimanapun Abdul Rahim membuat pengakuan salah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Mazuliana Abdul Rashid dan mohon supaya hukuman terhadapnya dikurangkan memandangkan dia perlu menjaga ibu yang sakit strok beberapa hari lepas.
Pendakwaan bagaimanapun tidak menawarkan jaminan sebaliknya tarikh sebutan baharu bagi kes tersebut pada 13 Disember depan telah ditetapkan.
Kelmarin, satu video tular di Facebook jam 11.13 pagi, memaparkan kejadian pertengkaran antara tertuduh dengan jurutol di plaza tol terbabit.
Video itu menunjukkan seorang lelaki keluar dari kenderaan dan terus ke kaunter tol sambil memarahi serta menendang dinding kaunter tol sebelum dia beredar.
Difahamkan punca kejadian adalah kerana suspek berusia 31 tahun berang kerana ditegur mengetuk tempat kad Touch n Go dengan kuat semasa menggunakannya sebelum itu. -MalaysiaGazette