Majlis Profesor Negara

KUALA LUMPUR – Operasi Majlis Profesor Negara (MPN) tidak dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak 8 November 2021 sehingga mengakibatkan berlaku kecelaruan pengurusan.

Selain itu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) turut mendedahkan keberkesanan dan fungsi MPC kepada kerajaan tidak dapat disahkan kerana Penunjuk Prestasi Utama (KPI) tidak dilaporkan kepada JPM.

“Tiada pelaporan mengenai aktiviti MPN yang pernah dibuat kepada JPM menyebabkan kawalan dan pemantauan sepenuhnya terhadap MPN tidak dapat dilaksanakan,” kata Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika sidang media di Parlimen.

Beliau ketika membentangkan Laporan PAC berhubung MPN turut mendedahkan dana tidak disalurkan kepada kluster/chapter menyebabkan aktiviti majlis itu tidak dilaksanakan mengikut matlamat penubuhannya pada tahun 2014.

Katanya lagi, selepas dikeluarkan daripada kerajaan pada 2018, MPN masih menggunakan Artikel Pertubuhan yang dipinda pada 2019 berhubung wakil kerajaan dalam Lembaga Pemegang Amanah (LPA) meskipun diserap kembali dua tahun kemudian.

Ujar beliau, tindakan tersebut menyebabkan tiada wakil daripada kerajaan dalam LPA MPN.

Ia menjadi faktor utama operasi dan kewangan majlis berkenaan tidak dipantau.

Justeru, Ahli Parlimen Masjid Tanah itu mencadangkan supaya JPM mengkaji semula kepentingan MPN sebagai penggerak kepakaran tenaga akademik dalam membantu membangunkan negara.

“Sekiranya Kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan MPN sebagai CLBG, MPN perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berdasarkan fungsi dan peranan MPN.

“JPM perlu memaklumkan PAC perkembangan mengenai keputusan Kerajaan berhubung status MPN sama ada kekal sebagai agensi CLBG di bawah Kerajaan atau sebaliknya dalam prosiding Tindakan Susulan,” tambah beliau.

Katanya, JPM perlu menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung pemantauan ke atas syarikat-syarikat di bawah kawal selianya selaras yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perbendaharaan PB 1.2.

“MPN juga perlu segera mendapatkan maklum balas daripada SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) berhubung status pindaan Artikel Pertubuhan yang terbaharu.

“MPN hendaklah melantik Setiausaha Syarikat yang kompeten bagi memastikan kelancaran tadbir urus MPN terutamanya dalam mematuhi semua peraturan dan undang-undang syarikat yang berkaitan,” katanya lagi.

Pada 28 Ogos yang lalu, Presiden MPN Profesor Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose, 64, dan Profesor Datuk Dr Kefli Mahbol, 65 didakwa di Mahkamah Sesyen, Shah Alam atas tujuh pertuduhan pecah amanah dan bersubahat bernilai RM271,000 pada tahun 2023 dan tahun ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast