Bank Negara Malaysia di Kuala Lumpur. foto AIZAT ZAINAL, 06 OGOS 2024.

KUALA LUMPUR – Public Investment Bank Bhd (Public IB) menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan pendirian berhati-hati menjelang 2025, berkemungkinan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus bagi tahun itu dalam persekitaran cabaran ekonomi.

Bank pelaburan itu berkata ini akan membantu mengecilkan perbezaan kadar faedah negatif dengan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden AS baru-baru ini, ia mengunjurkan dasar ekonomi AS pada 2025 akan menumpukan kepada perubahan tarif dan cukai.

“Sehubungan itu, kami menjangkakan pengurangan dalam penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS pada 2025 dengan tempoh masa dan pelarasan dasar Fed kepada langkah tarif baharu, menambah ketidakpastian kepada prospek monetari,” kata Public IB dalam nota penyelidikan hari ini .

Public IB melaporkan inflasi teras dan keseluruhan dengan purata 1.8 peratus tahun ke tahun setakat ini.

Dalam Penyata Dasar Monetari terbaharunya, BNM menyatakan bahawa inflasi dijangka kekal terkawal pada tahun 2025, disokong oleh keadaan kos global yang kembali stabil dan tiada tekanan permintaan domestik yang ketara.

Bank pusat itu turut berkata prospek inflasi bergantung kepada spesifik langkah dasar domestik yang akan datang.

Potensi risiko peningkatan inflasi termasuk kesan limpahan daripada perubahan dasar, turun naik harga komoditi global dan dinamik pasaran kewangan.

Public IB berkata pemacu inflasi utama pada tahun 2025 mungkin termasuk penghapusan berperingkat subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun, pelarasan kepada gaji minimum dan skop yang diperluaskan untuk cukai jualan dan perkhidmatan.

“Rasionalisasi subsidi seterusnya terhadap barangan keperluan seperti gula, beras putih dan minyak masak boleh meningkatkan tekanan kos dan didorong permintaan terhadap harga pengguna,” kata bank itu.

Faktor inflasi lain mungkin termasuk kenaikan gaji penjawat awam mulai Disember 2024, caruman mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing dan levi pekerja asing pelbagai peringkat, katanya.

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) juga menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM akan mengekalkan OPR pada 3.00 peratus menjelang 2025 sebagai respons kepada tekanan inflasi daripada dasar domestik termasuk pengurangan berperingkat RON95 dan jangkaan kenaikan gaji.

HLIB mengunjurkan inflasi meningkat tahun depan, mencerminkan potensi kesan daripada rasionalisasi subsidi RON95 pertengahan 2025, kenaikan gaji penjawat awam Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum pada Februari 2025.

Kos tambahan daripada pengembangan skop SST dan caruman KWSP mandatori untuk pekerja asing juga boleh menyumbang kepada peningkatan tersebut, kata HLIB.

“Kami mengunjurkan Indeks Harga Pengguna meningkat kepada 2.7 peratus pada 2025 daripada anggaran 1.9 peratus pada 2024 dalam julat jangkaan Kementerian Kewangan antara 2.0 hingga 3.5 peratus,” kata HLIB.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast