Lima anggota pengaman yang cedera, hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan daripada Palang Merah Lubnan di lokasi kejadian.

KUALA LUMPUR – Lima anggota pengaman dan tiga askar Lubnan cedera apabila konvoi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa anggota baharu terkena serangan dron ketika melalui Bandar Saida di selatan Lubnan pada Khamis.

Dalam satu hantaran di X (dahulu dikenali sebagai Twitter), Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan lima anggota pengaman yang cedera, hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan daripada Palang Merah Lubnan di lokasi kejadian.

“Mereka akan meneruskan perjalanan ke pos masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan yang sama menyebut bahawa Tentera Lubnan mengesahkan tiga askarnya yang ditempatkan di pos kawalan berdekatan turut cedera dalam insiden itu.

“Kami mengingatkan semua pihak tentang kewajipan mereka untuk mengelakkan tindakan yang meletakkan pengaman atau orang awam dalam bahaya. Perbezaan harus diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui keganasan,” kata UNIFIL.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan yang pasukan Batalion Malaysia 850-12 (Malbatt 850-12) di Lubnan terkena serpihan bahan letupan, dan beberapa anggota dipercayai cedera. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast