Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap kepada media selepas Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) ke-14 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan meneruskan program pemulihan ke atas anak-anak bekas pengikut GISB Holdings (GISBH) meskipun mereka sudah memulakan sesi persekolahan seperti biasa.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, anak-anak yang diselamatkan daripada rumah amal milik GISBH itu akan terus dipantau dari segi keperluan psiko sosial dengan bimbingan daripada guru.

“Mereka memulakan kelas psiko sosial pada 1 Oktober selama dua minggu pertama untuk menilai keperluan-keperluan psiko sosial mereka.

“Kini semuanya telah memulakan kelas persekolahan seperti biasa mengikut kurikulum kita dengan bimbingan daripada guru-guru kita.

“Alhamdulillah setakat ini semua telah mengikuti pendidikan sebagaimana aliran perdana dengan bantuan daripada guru-guru yang kita tempatkan di mana anak ini berada,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, seramai 424 kanak-kanak bekas pengikut GISBH mengikuti program pemulihan oleh pasukan khas Kerajaan Negeri Selangor.

Penubuhan pasukan khas itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Oktober lalu.

Pasukan itu dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pakar-pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak Yayasan MBI serta Yayasan Selgate.

Tanpa memberitahu jumlah guru yang terlibat dalam program itu, Fadhlina berkata ia merangkumi peringkat pra sekolah hingga sekolah menengah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast