KUALA LUMPUR – Pusat hiburan tanpa lesen dipercayai menawarkan perkhidmatan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing dan tempatan di Jalan Kuchai Lama, di sini, diserbu polis semalam.
Serbuan Op Noda KL Strike bermula jam 1 pagi itu, melibatkan 16 pegawai dan anggota Bahagian Pencegahan Judi, Maksiat dan Gangsterism (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya telah menahan lapan GRO warga asing dan seorang lelaki tempatan berusia 21 hingga 32 tahun.
“Lapan GRO warga asing terdiri itu daripada warga Thailand (lima), Vietnam (dua), Laos (seorang) manakala lelaki tempatan itu berperanan sebagai penjaga premis.
“Seramai 100 orang diperiksa melibatkan 31 lelaki tempatan, lelaki warga China (20), GRO warga tempatan (39), lelaki tempatan berperanan sebagai pekerja (6) dan wanita tempatan yang juga pekerja (4) yang berusia 23 hingga 46 tahun,” kataya.
Dalam pada itu, semakan lanjut mendapati premis terbabit menawarkan GRO warga asing yang berselindung di sebalik GRO warga tempatan.
“Dalam serbuan itu, pusat hiburan itu menggaji GRO warga asing tanpa lesen dan rampasan juga dibuat antaranya sebuah pembesar suara, resit perniagan, mikrofon, dan mixer.
“Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992,” jelasnya. – MalaysiaGazette