Lukanisman.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan menempatkan lebih ramai pegawai perubatan, pegawai perubatan yang menamatkan pengajian kepakaran serta pakar perubatan tetap dan kontrak di Sabah.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni, kementerian juga mengutamakan pegawai perubatan kelahiran Sabah untuk berkhidmat di negeri tersebut.

Jelasnya, ia merupakan antara inisiatif untuk merapatkan jurang nisbah doktor di negeri di bawah bayu.

“”Kita juga akan melaksanakan pendekatan lebih inovatif iaitu menggabungkan perkhidmatan kepakaran dalam lingkungan fasiliti tertentu menerusi konsep hospital kluster dan melaksanakan konsep visiting specialist bagi pakar perubatan menyampaikan perkhidmatan kepakaran kepada penduduk di luar bandar.

“KKM juga akan meneruskan pelbagai insentif untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, antaranya kemudahan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Tambang Ziarah Wilayah serta Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Terdahulu, Ahi Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan) meminta KKM menyatakan strategi yang dirangka dan jangka masa yang ditetapkan bagi merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah.

Ujarnya, ketika ini nisbah doktor di sana adalah satu doktor kepada 900 penduduk, berbanding satu doktor kepada 412 penduduk di peringkat kebangsaan.

Beliau juga bertanya mengenai nibah katil di hospital di negeri tersebut.

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata nisbah katil bagi setiap 1,000 penduduk di Sabah kini meningkat daripada 1.52 kepada 1.77.

Tambahnya, dalam masa yang sama KKM mensasarkan sebanyak 1,941 katil tambahan di hospital kerajaan bakal siap menjelang 2030.

“Untuk unjuran Bed-to-Total Population Ratio (BPR) pengiraan turut melibatkan katil kerajaan bukan KKM dan hospital swasta yang melibatkan 40 katil di hospital Kementerian Pertahanan dan katil di bawah projek Hospital Universiti Malaysia Sabah yang dijangka siap menjelang 2026.

“Pengiraan turut melibatkan unjuran katil di hospital swasta dengan kadar peningkatan sebanyak lima peratus mengikut pola sumbangan pihak swasta di Sabah dalam tempoh lima tahun terkini,” jelas beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast