PUTRAJAYA – Pengusaha syarikat bas ekspres yang terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa penumpang gagal audit Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, audit ICOP itu telah dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Tambah beliau, keputusan itu menyaksikan permit operasi syarikat itu akan digantung oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) selepas dicadangkan oleh JPJ.
“Audit ICOP memang sudah buat, memang mereka gagal pun.
“JPJ akan rujuk kepada APAD, sebab untuk tindakan penggantungan adalah di bawah APAD, jadi APAD akan keluarkan surat tindakan terhadap mereka untuk satu tempoh tapi dalam tempoh itu mereka boleh buat rayuan kepada pihak pejabat menteri.
“Penggantungan apa-apa permit itu ada prosesnya, ada langkahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Cahaya Kasih Madani & Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di kementeriannya di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan petugas khas (Special Taskforce) dan menggantung serta-merta operasi bas terbabit dalam insiden renjatan elektrik sehingga meragut nyawa seorang remaja lelaki di Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Anthony berkata, pasukan petugas khas ini terdiri daripada JPJ, APAD dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).
Mengulas lanjut, Anthony turut menepis dakwaan tindakan kerajaan menggantung serta-merta operasi bas terbabit merupakan keputusan tergesa-gesa tanpa memahami punca sebenar kejadian.
Beliau menjelaskan, hanya permit bas terbabit sahaja digantung kerana ditahan sementara polis selepas berlaku kes kematian.
Katanya, bas-bas lain yang dikendali syarikat itu masih boleh beroperasi namun ia perlu proses audit oleh JPJ.
Beliau menjawab Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong Yew Chuan yang berkata, Kementerian Pengangkutan perlu menyiasat pengilang bas dan pembekal berkaitan termasuk alat pengecas yang digunakan mangsa bagi mengenal pasti punca.
Pada 1 November lalu, media melaporkan seorang remaja lelaki maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mengecas telefon bimbit di soket dalam sebuah bas ekspres di Penang Sentral, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata mangsa Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, ditemukan maut dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang.
Hasil pemeriksaan awal polis terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan melecur di jari sebelah kiri, yang disyaki berpunca daripada renjatan elektrik.
Pemeriksaan turut mendapati penghujung kabel yang digunakan cair, dan telefon bimbit mangsa berada dalam keadaan panas, katanya. – MalaysiaGazette