Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) — Seorang peniaga dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak jurutera menggunakan gunting pemotong rumput membabitkan kerugian lebih RM190,000, bulan lepas.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Muhd Rusydi Abdul Raman, 32, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 29 Okt lepas.

Nur Muhd Rusydi didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan ke atas Mohd Hafidz Mohd Ismail, 43, dan merompak barangan berharga termasuk sebuah telefon bimbit Iphone 15 Plus dan wang tunai RM9,000 milik mangsa dengan bersenjatakan gunting pemotong rumput.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Presint 16, Putrajaya pada 3 pagi, 27 Okt lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah dirompak bersenjatakan gunting pemotong rumput di rumah berkenaan dan bertindak atas maklumat, sepasukan polis telah menangkap tertuduh dan membuat rampasan antaranya beberapa bentuk cincin permata berwarna perak, sepasang anting-anting, jam tangan dan rantai mutiara.

Hasil kawat cam, mangsa dapat mengecam tertuduh berdasarkan mata, bentuk badan, warna kulit serta pakaian yang dirampas semasa tangkapan dibuat terhadap tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin memohon hukuman penjara maksimum dan sebat untuk memberikan pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan serius.

“Dalam kes ini, ia melibatkan jumlah kerugian yang besar. Hukuman yang tinggi bukan hanya memberi pengajaran kepada tertuduh tetapi kepada masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan sama seperti tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Nur Muhd Rusydi yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadapnya.

Di mahkamah sama, rakan kepada Nur Muhd Rusydi iaitu Mohd Ezwan Kamaruzaman, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan serupa dan dituduh di bawah akta sama.

Seorang lagi rakan mereka, Abdul Rahman Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki harta rompakan berkumpulan iaitu sebuah telefon bimbit (Iphone 15 Plus) di sebuah kedai di Jalan Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak pada 4.30 petang, 29 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala peguam Nurul Diyana Basher yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dibenarkan atas alasan mereka menanggung keluarga.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Egusra menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan kes dan serahan dokumen. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast