KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka pejabat cawangan baharu di Manjung, Perak, sebagai langkah untuk memperluas perkhidmatannya dan mempermudahkan masyarakat setempat berurusan dengannya.
Perasmian pejabat cawangan baharu itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali, hari ini.
Pejabat SPRM Perak Cawangan Manjung yang terletak di Lot 265, Jalan Dato Ahmad Yunus, 32000 Sitiawan, Perak Darul Ridzuan ini diketuai oleh Penguasa Sharizal Abdul Rahman yang akan melapor terus kepada Pengarah SPRM Perak, Datuk Ahmad Sabri Mohamed.
Bangunan Pejabat SPRM Perak Cawangan Manjung ini asalnya merupakan Perpustakaan Awam Sitiawan sejak 1990 dan kemudian dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada SPRM Perak pada 5 Jun 2024.
Pejabat ini dilengkapi dengan bilik Ketua Cawangan, ruang kerja pegawai, bilik aduan serta Bilik Gerakan Operasi Siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan rasuah atau penyalahgunaan kuasa boleh hadir ke pejabat ini atau menghubungi talian 019-6001140. – MalaysiaGazette