Anthony Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR – Sehingga kini tiada piawaian keselamatan  penyediaan dan penggunaan soket dalam bas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Sehubungan itu katanya, kementerian tersebut bersama Suruhanhjaya Tenaga (ST) akan memperhalusi keperluan pemeriksaan soket dalam bas dijadikan antara standard yang perlu dipatuhi.

“Untuk bas sekarang ini memang tidak ada piawaian. Setakat dalam siasatan kita, pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) soket tidak dimasukkan dalam sebahagian pemeriksaan,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab (GPS) bertanyakan sama ada penggunaan soket dalam kapal terbang dan bas selamat.

Ia merupakan soalan tambahan bagi soalan daripada Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan (Perikatan Nasional) yang bertanya punca remaja berumur 18 tahun yang maut akibat renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbitnya di soket sebuah bas ekspres dalam kejadian di Terminal bas Penang Sentral, pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut Anthony berkata, penggunaan soket dalam kapal terbang dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) adalah dibenarkan berdasarkan piawan dan kelulusan yang telah ditetapkan.

Sementara itu beliau berkata, pada Isnin lalu kementeriannya telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi meneliti insiden tersebut.

“Saya telah memberikan masa selama 14 hari kepada Pasukan
Petugas Khas untuk menyediakan laporan tersebut dan punca sebenar insiden ini akan diketahui setelah laporan ini lengkap dan diserahkan kepada MOT. Saya akan mengumumkan secara terperinci hasil laporan itu nanti,” ujarnya.

Dalam masa yang sama tambahnya, kementerian itu menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pengendali bas ekspres yang terlibat pada 4 November 2024.

“Yang mana syarikat perlu mengemukakan maklum balas kepada APAD dalam tempoh masa tiga hari bekerja iaitu selewat-lewatnya pada 6 November 2024. STS bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas mengenai kemalangan daripada pihak pengusaha bas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast