MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menawarkan tajaan Biasiswa Kesidang buat pelajar dari 23 buah negara Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) yang terpilih bagi menyambung pengajian di universiti ini.
Kenyataan tersebut diumumkan oleh Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin sewaktu majlis penutup Konvensyen DMDI kali ke-22 yang berlangsung di Jamiyah Islamic Centre, Singapura, baru-baru ini.
Menurut Massila, ini merupakan antara kemudahan yang disediakan UTeM dengan memperluaskan ruang dan peluang kepada pelajar dari kalangan 23 negara DMDI
untuk menyambung pengajian di sini.
Jelasnya, pengumuman ini diharapkan menjadi khabar gembira buat segenap pelajar dari seluruh rangkaian negara DMDI yang tentunya berminat untuk mengikuti pengajian teknikal di Universiti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terbaik di Malaysia ini.
“Biasiswa ini memberikan kemudahan pembiayaan kewangan dalam aspek yuran pengajian kepada pelajar-pelajar ini untuk melanjutkan pengajian dalam program-
program yang ditawarkan di UTeM.
“Ia tertakhluk kepada kriteria dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak UTeM kepada calon-calon yang layak bagi menikmati keistimewaan ini,” ujarnya di sini.
Pada hari sebelumnya UTeM telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jamiyah Singapura yang disaksikan oleh Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Yang Dipertua Negeri Melaka, merangkap Presiden DMDI dan juga Canselor UTeM.
Mengulas tentang MoU ini Massila berkata, kolaborasi antara UTeM dan Jamiyah Singapura adalah penting untuk memanfaatkan kekuatan bersama dalam pelbagai
bidang seperti pendidikan tinggi, tahfiz dan teknologi.
“Kerjasama ini turut menjadi medan kepada kedua-dua pihak untuk membangunkan pusat pembelajaran, pemindahan dan perkongsian ilmu, pembangunan program
akademik dan latihan berteraskan (TVET).
“Pada masa yang sama kerjasama ini tentunya mengeratkan lagi hubungan erat kerjasama antara dua negara Malaysia dan Singapura dalam konteks pendidikan
tinggi di rantau ini,” ujarnya lagi. – MAlaysiaGazette