Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli digesa supaya memberi penjelasan dalam Dewan Rakyat berkenaan kesilapan fakta mengenai kos pembangunan dan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong membuat gesaan berkenaan demi membersihkan namanya selepas didakwa membuat tuduhan dan mengemukakan fakta yang salah apabila mengatakan kos sistem itu berjumlah RM85 juta.

“Saya minta Speaker nasihatkan menteri, saya bukan cari pasal tapi kesucian nama saya, saya pertahankan sampai ke kiamat. Saya minta kepada menteri kalau beliau masih berpegang kepada RM85 juta itu sebagai angka rasmi kenalah beliau lakukan sesuatu. Tarik balik apa yang beliau tuduh saya semalam.

“Kalau benar pegawai bagi tanpa persetujuan beliau, dia kena buat penerangan Menteri di sini beritahu jawapan saya sepatutnya dibetulkan. Dosanya tidak sepatutnya ditanggung oleh Wee Ka Siong,” katanya merujuk kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Wee mengaku terkilan selepas dituduh berbohong dengan memetik laporan kos PADU yang bukan hanya dilaporkan oleh portal berita biasa tetapi juga Suara Keadilan.

Malah katanya, Rafizi sendiri sudah mengaku fakta yang ‘salah’ itu diberikan oleh pegawainya.

“Semalam saya terus pergi ke tempat beliau, saya kata tidak adil untuk saya sebab ini data yang kamu bekalkan kepada Ahli Parlimen dan dipetik oleh saya. Takkanlah penyata rasmi dalam dewan saya silap. Saya tanya dia macam mana boleh bagi data begitu, dia kata pegawai (yang bagi). Itu masalah kamu bukan saya.

“Tidak akanlah saya Timbalan Presiden PKR? Ini dilaporkan dalam portal sendiri,” tegasnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul meminta Wee mengemukakan usul sama ada mahu Rafizi meminta maaf atau memperbetulkan fakta.

“YB (Yang Berhormat Ayer Itam) ada dua pilihan itu, kerana kalau saya yang cakap nanti dia bagitahu tidak ada rekod,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast