Kumpulan perusuh yang marah bertindak mengejar dan memburu penyokong kelab bola sepak Israel. #malaysiagazette

AMSTERDAM – Seramai 10 warga Israel dilaporkan cedera dan tiga masih hilang selepas penyokong kelab bola sepak negara itu Maccabi Tel Aviv diserang secara beramai-ramai di Amsterdam, Belanda.

The Times of Israel melaporkan, 10 warga Israel dimasukkan ke hospital dan tiga tidak berhubung dengan keluarga selepas insiden keganasan semalam.

Penyokong kelab bola sepak dari Israel diserang selepas perlawanan bola sepak yang berlangsung petang Khamis dengan kelab tempatan Belanda, Ajax.

Dalam video di rangkaian sosial, peminat Maccabi Tel Aviv dilihat diserang di beberapa lokasi di bandar itu.

Media tempatan Belanda sebelum itu melaporkan penyokong Israel mengoyak dan menurunkan bendera Palestin yang berkibar dan mengucapkan kata-kata provokasi ketika mereka berarak melalui Amsterdam pada malam Rabu menjelang lawatan Maccabi Tel Aviv ke Ajax.

Video menunjukkan berpuluh-puluh figura bertopeng dan berpakaian serba hitam bersorak dan menyebut ‘f*** you Palestine’ dan ‘ole’ ketika seorang memanjat sebuah bangunan dan menurunkan bendera Palestin.

Kementerian Luar Israel menasihatkan semua rakyatnya di Belanda supaya tidak meninggalkan hotel dan meminta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan keselamatan mereka.

Kumpulan itu turut dinasihatkan mengelak daripada memaparkan simbol Israel dan Yahudi di jalanan dan dinasihatkan pulang ke Israel seawal mungkin, dengan pesawat dijangka mendarat di Amsterdam dalam beberapa jam akan datang.

Pihak berkuasa Belanda berkata, pada waktu pagi bahawa keadaan telah reda dan mereka telah melakukan berpuluh-puluh tangkapan.

Perdana Menteri Belanda Dick Schoof dilaporkan mengecam “serangan antisemitik yang tidak boleh diterima ke atas Israel.”

Dia menambah, telah bercakap dengan rakan sejawatannya dari Israel Benjamin Netanyahu untuk meyakinkannya bahawa “para pelaku akan dikesan dan didakwa.”

Rakyat Israel dilaporkan diganggu dan diburu oleh perusuh yang marah selama berjam-jam dengan sedikit campur tangan yang berkesan oleh polis tempatan.-Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast