PUTRAJAYA – Sebanyak 500 pemasangan siren amaran banjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di seluruh negara telah diselenggara bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Pengarah Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) JPS, Ir. Dr. Salwa Ramly berkata, siren amaran banjir itu bagi memberi amaran secara lokal kepada penduduk setempat.
“Kita ada pelbagai jenis siren ada yang kecil sedikit dan besar dengan pengaktifan suara dan itu yang kita selalu pantau seperti banjir di Kuala Lumpur memang ada bunyi di Dataran Merdeka.
“Siren itu berbunyi berdasarkan kepada status aras air sungai di kawasan terbabit di mana ia lebih kepada kawasan pengumuman setempat yang boleh didengari lebih kurang satu hingga dua kilometer (km),” katanya pada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti, di sini hari ini.
Tambah Salwa, pihaknya juga sedang dalam merancang untuk menambah lagi siren amaran di kawasan yang tidak mempunyai model ramalan banjir.
“Sebenarnya bukan semua tempat boleh dibuat model ramalan banjir kerana bergantung pada jenis banjir dan terdapat empat kategori yang kita dikesan.
“Pertama adalah banjir MTL (hujan lebat berpanjangan dan lambat surut), banjir kilat (berlaku dalam masa singkat), banjir pantai (semasa air pasang besar) dan banjir termenung (cuaca baik, air tidak surut),” jelasnya.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai di kawasan masing-masing untuk melaporkan kerosakan siren agar tindakan selenggara dapat dilaksanakan.
“Kita ada menerima beberapa laporan (kerosakan) dan menyarankan kepada masyarakat di kampung untuk turut sama menjaga aset itu.
“Ini kerana ada yang tidak berfungsi serta tidak berbunyi kerana perbuatan vandalisme dan ada sampah sarap tersangkut juga boleh menjejaskannya.
“Saya juga ingin mempromosikan laman sesawang Public Info Banjir yang dibangunkan sendiri oleh JPS iaitu https://publicinfobanjir.water.gov.my/,” ujarnya. – MalaysiaGazette