SUNGAI PETANI – Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara dua penunggang maut selepas motosikal mereka bertembung sesama sendiri di Jalan Kampung Kubang Sapi di sini, hari ini.
Kejadian jam 7.10 pagi itu menyebabkan anggota TUDM, Muhammad Amyrul Safuan Fadzil, 31, dan pekerja kilang, Muhammad Hambalee Ishak, 27, maut di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku ketika anggota TUDM yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dari arah Sidam Kiri menghala ke Pinang Tunggal, manakala seorang lagi mangsa dari arah bertentangan.
“Kedua-dua motosikal ditunggang di tengah lorong sebelum Yamaha Y15ZR ditunggang pekerja kilang itu hilang kawalan dan merempuh sebuah lagi motosikal secara berhadapan.
“Impak kemalangan itu, kedua-dua penunggang mengalami kecederaan pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini, bagi proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette