Pesawat Pejuang F-15

WASHINGTON – Pesawat pejuang F-15 Amerika Syarikat (AS) tiba di Timur Tengah untuk memberi amaran kepada Iran.

Tentera AS mengesahkan perkara itu dan menyatakan usaha berkenaan adalah untuk memperkukuh kehadiran aset ketenteraan di rantau tersebut.

Menurut jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder, pesawat F-15E Strike Eagles dari Skuadron Pejuang ke-492 yang berpangkalan di RAF Lakenheath, England kini berada di bawah tanggungjawab Komando Pusat AS yang mengawasi operasi di Timur Tengah.

“Sebarang tindakan dari Iran yang menyasarkan kepentingan atau kakitangan AS akan dihadapi dengan tindakan tegas.

“AS komited melindungi keselamatan rakyatnya dan akan mengambil semua langkah perlu untuk memastikan keselamatan di rantau itu terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 1 November lalu, AS mengumumkan rancangan menghantar beberapa aset pertahanan strategik termasuk pengebom, pesawat pejuang dan kapal pemusnah pertahanan peluru berpandu balistik ke Timur Tengah.

Langkah itu dilihat sebagai persediaan AS untuk menangani potensi ancaman dari Iran, rakan kongsinya atau proksinya di rantau tersebut.

Ketegangan antara AS dan Iran semakin memuncak berikutan serangan Israel ke atas Iran pada 26 Oktober lalu.

Pemimpin tertinggi Iran memberi amaran Tehran akan membalas tindakan tersebut sebagai mempertahankan kedaulatan negara mereka.

Sebelum ini, Iran telah melancarkan dua serangan besar terhadap Israel sepanjang tahun ini dan Insiden pertama berlaku pada April sebagai tindak balas terhadap serangan ke atas konsulatnya di Damsyik yang dipercayai dilakukan oleh Israel.

Insiden kedua pula tercetus pada Oktober lalu, yang menurut Tehran adalah sebagai tindak balas kepada pembunuhan seorang pemimpin kumpulan bersenjata yang disokongnya di Timur Tengah. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here