Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada Sidang Media Mingguan Kementerian Komunikasi di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Kerajaan mengecam sekeras-kerasnya serangan rejim zionis Israel ke atas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) yang turut mencederakan enam anggota pengaman Malaysia.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan yang juga Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, serangan yang dianggap kejam itu kerana melibatkan sebuah kenderaan yang berada berhampiran dengan bas yang membawa pasukan Batalion Malaysia (MALBATT).

“Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionist Israel dan ini tidak boleh diterima.

“Dan apa yang Menteri Pertahanan telah sebut mengenai perancangan, sekiranya perlu diambil apa-apa tindakan, kita rujuk kepada Kementerian Pertahanan nanti.

“Tapi bagi pihak Jemaah Menteri dan juga Kerajaan Malaysia, kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan serangan yang berterusan terhadap Lubnan dan juga pasukan UNIFIL yang mana di antaranya MALBATT adalah sebahagian daripada pasukan tersebut,” katanya pada sidang media mingguan di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam seramai enam anggota MALBATT disahkan mengalami kecederaan susulan insiden letupan yang berlaku berdekatan Stadium Saida, Lubnan ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah pada 1.54 tengah hari waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled memaklumkan seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida manakala lima lagi anggota yang cedera ringan telah selamat sampai ke Kem Marakah.

Beliau berkata kejadian berpunca daripada serpihan letupan sebuah kereta yang belum diketahui puncanya sama ada akibat tembakan daripada dron atau pesawat pejuang Israel.

“Serpihan letupan berkenaan telah menyebabkan cermin depan dan belakang sebuah daripada bas yang membawa rombongan MALBATT 850-12 pecah dan menyebabkan enam anggota cedera termasuk anggota pengiring MALBATT 850-11,” katanya.

Pada Rabu lalu, penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 November hingga 18 November ini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here