Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid (kanan).

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak tegas ke atas Israel yang berterusan melakukan serangan menyasarkan kedudukan tentera pengaman PBB di Lubnan.

Presiden MBM Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid yang mengutuk serangan terbaharu hingga mencederakan empat tentera Battalion Malaysia (MALBATT) di Sidon, Selatan Lubnan berkata, Israel telah melampaui batas.

“MBM menyatakan sokongan penuh terkait cadangan Perdana Menteri bagi mengemukakan usul menyingkirkan Israel sebagai anggota PBB.

“Jenayah perang yang dilakukan Israel di Timur Tengah telah melampaui batas kemanusiaan dengan melanggar banyak protokol keamanan dan lunas hüküm global,” katanya dalam kenyataan.

Badan itu akan berdiri teguh bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengambil segala tindakan strategik terhadap kebiadapan Israel ke atas penduduk Lubnan dan Palestin.

MBM turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu demi perjuangan menentang kezaliman Israel dan mendokan keselamatan anggota tentera yang terlibat dalam misi pengaman di Timur Tengah.

Enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850 disahkan cedera dalam insiden letupan yang berdekatan Stadium Saida, Lubnan sekitar jam 7.54 malam waktu Malaysia pada Khamis.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, kejadian berlaku ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

“Daripada jumlah itu, lima anggota melibatkan Malbatt 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang cedera di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).

“Seorang lagi membabitkan anggota Malbatt 850-11 juga mengalami cedera ringan. Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11,” katanya dalam kenyataan.

Kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12.

Media antarabangsa melaporkan tiga penduduk awam terkorban dalam serangan yang dilakukan oleh tentera Israel.

Sejak Oktober tahun lalu Israel telah membunuh lebih 43,000 penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat serta membunuh lebih 2,000 orang di Lubnan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast