Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip bercakap pada Sesi Libat Urus Persiapan Kerajaan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Markas Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti, Puchong. Foto SADIQ SANI, 08 NOVEMBER 2024

PUTRAJAYA – Musim Monsun Timur Laut (MTL) dijangka mencapai tahap kemuncak pada penghujung bulan ini hingga Januari tahun hadapan di sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, situasi itu akan berlaku dengan menerima jumlah taburan hujan melebihi 20 hingga 40 peratus.

“Seperti saya sebutkan tadi, jumlah taburan hujan itu berdasarkan beberapa majoriti model seperti di Thailand-Malaysia akan berlaku lebih sedikit daripada purata.

“Antara 20 hingga 40 peratus pada bulan November dan Disember. Begitu juga di Sabah akan berlaku lebih panjang (tempoh MTL) sampai bulan Februari atau Mac.

“Lazimnya kemuncak MTL ini berlaku pada penghujung November hingga awal Januari depan dan pada Disember itu boleh dikatakan semua negeri di pantai timur termasuk Sabah dan Sarawak terlibat,” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian menghadiri sesi libat urus persiapan kerajaan menghadapi MTL 2024/2025 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia di Pulau Meranti, di sini hari ini

Mengulas mengenai myCuaca, Mohd Hisham berkata, lebih 200,000 pengguna telah memuatnaik aplikasi tersebut yang menjadi rujukan semasa kepada orang ramai.

“Segala maklumat terkini berhubung cuaca akan dimaklumkan dalam myCuaca, malah turut dikongsi berkaitan situasi laut dan gempa.,” jelasnya.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast