KLUANG – Seorang pelajar lelaki tingkatan dua memberi alasan tidak sihat kerana enggan ke sekolah sebelum keluar rumah dan tidak balik sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, Mohd Syawal Abdullah, 14, keluar dari rumahnya di Jalan Dahlia, Kampung Melayu di sini pada 7.30 pagi, 5 November lalu.
“Remaja tersebut keluar rumah dan tidak pulang lagi selepas itu. Ibu dan bapanya menjangkakan anak keempat daripada lima adik beradik itu akan balik pada lewat petang.
“Masuk hari pertama kehilangan remaja itu, ibu dan bapanya mula curiga dengan bertanya pada saudara terdekat serta rakan sekolahnya namun mereka juga tidak mengetahui kedudukannya.
“Selepas harapan untuk melihat kepulangan remaja itu pada petang hari pertama tidak berhasil, ibunya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis semalam.
“Laporan tersebut dibuat bagi mendapatkan bantuan percarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mengikut laporan ibunya, remaja itu berketinggian 150cm, berkulit cerah dan susuk tubuh kecil namun tidak diketahui warna pakaian ketika keluar dari rumah.
Beliau merayu bantuan orang ramai untuk memaklumkan kepada pihak polis dengan menghubungi mana-mana balai berdekatan sekiranya mempunyai maklumat atau mengetahui kedudukan remaja berkenaan.- MalaysiaGazette