KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) telah melaksanakan program Jelajah Peduli Ummah selama empat hari bermula 2 hingga 5 November lepas.
Program bertujuan memperkukuh ikatan komuniti antara masyarakat kota dengan penduduk Orang Asli di Kampung Peta dan Kampung Tewowoh dilakukan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang bermakna.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr. Sani Araby Al Kahery berhasrat untuk membawa bantuan dan sokongan kepada komuniti yang memerlukan menerusi program hasil cetusan ideanya itu.
“Program ini dirancang untuk menjangkau mereka yang mungkin terpinggir dan memastikan setiap individu mendapat perhatian yang sepatutnya.
“Kami ingin menjadikan ini sebagai platform untuk menyebarkan kasih sayang dan perpaduan,” katanya menerusi kenyataan.
Sebelum ini, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyahut saranan agar badan bukan kerajaan (NGO) mendahulukan usaha menyantuni masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, MAPIM dengan kerjasama rakan-rakan NGO seperti Cinta Gaza Malaysia dan ZUS Coffee terus komited dalam memupuk nilai-nilai kemanusiaan melalui inisiatif bantuan sosial yang menyeluruh.
Antara aktiviti utama termasuk dapur bergerak bagi penyediaan makanan, klinik bergerak bagi pemeriksaan kesihatan dan bengkel agama khusus untuk kanak-kanak Muslim.
Lebih daripada 150 kotak bantuan turut diedarkan kepada penduduk setempat sebagai persediaan menghadapi musim banjir memandangkan Kampung Peta merupakan zon merah yang berisiko tinggi dalam terputus bekalan makanan dan bantuan dari luar.
Menerusi sumbangan peket makanan itu diharap dapat menjadi persediaan awal sekiranya banjir berlaku.
Sementara itu, pengarah program berkenaan, Aiman Syafiq berkata, program berkenaan bukan sahaja hanya sekadar memberi bantuan material tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan kasih sayang dalam kalangan komuniti.
“Kami bertekad untuk mendengar dan memahami keperluan mereka, serta memastikan setiap individu merasai manfaat daripada inisiatif ini,” ujarnya.
Dalam memastikan kelancaran logistik ke perkampungan yang jauh di pedalaman itu, MAPIM menggerakkan 13 unit kenderaan utiliti sukan (4×4) bagi membawa sukarelawan ke kedua-dua kampung berkenaan.
Program dimulakan dengan edaran 50 meja belajar untuk pelajar di sekolah rimba diikuti dengan pertandingan mewarna, sukaneka dan aktiviti menganyam tikar.
Sekolah Rimba itu yang diasaskan oleh MRA Johor berfungsi sebagai platform untuk mengajar ilmu tradisional masyarakat Orang Asli dan membantu mereka mengekalkan budaya serta tradisi yang kian terpinggir dari arus kemodenan.
Menerusi inisiatif seperti itu, MAPIM dan rakan-rakan kerjasama bertekad untuk tidak hanya memberikan bantuan berbentuk barangan, tetapi juga menyebarkan semangat perpaduan dan kasih sayang sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani. – MalaysiaGazette