Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong terus mempertahankan diri berhubung kontroversi kos keseluruhan pembangunan Pangkalan Data Utama (PADU) berjumlah RM85 juta yang disangkal Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di Dewan Rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam berkenaan, kos RM85 juta yang dipersoalkan beliau itu adalah diberikan Rafizi sendiri menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Ujarnya, data itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen  Rantau Panjang (Pas), Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff dan Ahli Parlimen Bakri (DAP), Tan Hong Ping sebelum ini berkenaan kos sebenar pelaksanaan PADU.

Tegas beliau, untuk kedua-dua pertanyaan itu, jawapan yang diberikan oleh Rafizi adalah sama iaitu kosnya berjumlah RM85.27 juta.

“Wahai YB Rafizi yang bijaksana, sudah terang lagi bersuluh bahawa angka RM85.27 juta sebagai kos pembangunan PADU datangnya daripada kamu sendiri dan kini tercatat sebagai Penyata Rasmi!

“Setelah 4 bulan telah berlalu, kenapa kamu tidak membuat penerangan Menteri untuk membetulkan angka RM85.27 juta tersebut, jika kamu merasakan angka yang telah diberikan kepada Ahli Parlimen Rantau Panjang dan Bakri itu tidak betul?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Ka Siong, apa yang lebih tidak masuk akal apabila Rafizi menuduh beliau membuat kenyataan tidak benar apabila menggunakan angka RM85.27 juta sebagai kos pembangunan PADU.

“Adoi… Kamu yang jawab secara bertulis sebanyak 2 kali mengulangi angka RM85.27 juta, akhirnya Wee Ka Siong pula dipersalahkan?

“Sekarang nak salahkan pegawai pula? Kamu sebagai Menteri tak semak dan teliti dalam kerja ke? Kenapa dengan mudah kamu salahkan orang lain?

“Selepas ini, nak salahkan media pula sebab nyatakan angka RM85.27 juta? Suara Keadilan pun melaporkan perkara sama, adakah Rafizi akan salahkan mereka juga?” katanya.

Tambahnya, Rafizi tidak sepatutnya mencari helah sebaliknya perlu mengakui sekiranya telah melakukan kesilapan.

“Takkan jatuh pun status jawatan Menteri kamu. Saya tidak hairan jika Rafizi menganggap dirinya sebagai seorang insan yang terpaling cerdik di dunia, tetapi janganlah menganggap rakyat termasuk saya ini BODOH?” katanya.

Ketika sidang Dewan Rakyat Rabu lalu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar menyatakan bekas Menteri Pengangkutan itu menggunakan data yang tidak betul berkenaan pembangunan PADU. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast