KUALA LUMPUR – Masalah tuntutan harta pusaka menjadi lebih sukar apabila waris yang layak menerima meninggal dunia sebelum aset berkenaan diserahkan kepada mereka mengikut saluran undang-undang syariah atau sivil yang ditetapkan.
Menyedari masalah itu, penting dan perlu penyelesaian segera, Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) mengambil inisiatif memberikan pendedahan kepada 112 penghulu di negeri berkenaan perancangan dan pengurusan harta pusaka.
Ahli Lembaga TASK, Datuk Seri Bakar Din berkata, jumlah tunggakan kes pengurusan pusaka kian meningkat dan ia amat membimbangkan, perancangan harta pusaka perlu dibuat lebih awal.
“Jadi, TASK mengambil inisiatif memberikan pendedahan ilmu pewarisan kepada kesemua penghulu di negeri Kedah ini. Mereka yang sentiasa berada di luar sana dan berinteraksi dengan masyarakat secara langsung, ilmu ini akan dimanfaatkan di lapangan nanti.
“Ia sekaligus dapat memastikan harta pusaka diurus dengan cara patuh syariah dan dapat dimanfaat oleh waris bagi kelangsungan hidup mereka pada masa depan,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, dalam kenyataan sama, Timbalan Pengerusi Pennawaris Sdn Bhd, Sharen Alzalip optimistik dalam memberi pendedahan khususnya kepada warga penghulu tentang kepentingan melantik pentadbir harta atau ‘wasi’ yang merupakan kunci bagi memulakan proses tuntutan harta pusaka.
“Kebanyakan kes tuntutan pusaka yang tertangguh adalah berpunca daripada perbalahan diantara ahli keluarga untuk melantik pentadbir bagi mewakili waris-waris yang lain untuk menguruskan pusaka si mati.
“Konflik yang tercetus ini mengakibatkan proses tuntutan tertangguh sehingga bertahun-tahun lamanya,” ujarnya. – MalaysiaGazette