JOHOR BAHRU – Sekolah Malaysia Econsave-MyCARE di Kem Pelarian Al-Jufainah, Marib, Yaman dengan kos RM1 juta sumbangan rakyat Malaysia sudah dibuka awal minggu ini.
Sekolah itu dibina bagi membantu anak-anak mangsa perang Yaman yang keciciran dalam pendidikan kembali ke sekolah selepas negara tersebut dilanda konflik perang saudara.
Itu merupakan usaha Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave (Econsave) membina sekolah dalam kawasan kem pelarian paling ramai serta terbesar di Yaman.
Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam bersyukur kerana sekolah berkenaan yang dilengkapi kemudahan asas dapat disiapkan mengikut jadual diitetapkan.
“Sekolah ini akan mempunyai dua sesi pelajaran dengan enam bilik darjah yang mampu menempatkan 400 murid untuk permulaan.
“Ini adalah sumbangan Pasaraya Econsave, MyCARE dan rakyat Malaysia,” katanya ketika dihubungi.
Sekolah itu merupakan yang ketiga selepas di Syria yang beroperasi pada tahun November lalu dan di Palestin dibuka pada 2018 hasil sumbangan rakyat Malaysia dikendalikan MyCARE dan Econsave.
Perasmian sekolah itu pada Ahad lalu disempurnakan Timbalan Setiausaha Gabenor Marib, Dr Abd Rabbuh Muftah bersama-sama Ketua Pengarah Direktorat Kota Marib, Muhammad Saleh Jalal.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Pendidikan di Muhafazah, Abdulaziz Al-Bakri.
Memetik laporan portal berita sabanew, Abdulaziz diberi penerangan dan taklimat oleh Pengarah Eksekutif Pejabat Human Access, Salem Saeed berkenaan sekolah tersebut.
Taklimat itu mengenai tahap dan spesifikasi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan sekolah tersebut.
Dr Abd Rabbuh berkata, pihaknya menghargai bantuan kemanusiaan itu terutama dalam menyokong sektor pendidikan yang melibatkan pembinaan sekolah serta kemudahan yang ada.- MalaysiaGazette