Insiden serangan di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point, Stadium Saida melibatkan konvoi Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 semalam.

KUALA LUMPUR – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang menyiasat insiden serangan di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point, Stadium Saida melibatkan konvoi Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 semalam.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan berkata, pihaknya juga akan meneruskan rancangan pertukaran trup antara MALBATT 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual yang telah dirancangkan oleh UNIFIL.

“Perkara tersebut turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar trup pengaman ke UNIFIL, yang terlibat dalam rancangan pertukaran terup pada bulan ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Bagi kumpulan kedua MALBATT 850-12 dijangka akan berlepas pada 10 November ini dengan berkekuatan seramai 219 orang manakala trup MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diatur gerakkan ke Lubnan.

“Mereka tetap mempamerkan moral dan semangat juang yang tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan pasukan pertama MALBATT805-12, Markas ATM berkata, konvoi berkenaan telah selamat tiba di Kem Marakah pada hari yang sama sekitar 11.30 malam waktu tempatan.

“Ia termasuk lima daripada enam anggota yang mengalami kecederaan ringan dan salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar hari ini pada 6.01 pagi (waktu Malaysia).

“Anggota terbabit kini berada di Kem Marakah bersama anggota lain. Semua anggota kini selamat berada di kem.

“Rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya,” jelasnya.

Tambahnya lagi, ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Selain itu, akan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama (MK AB) berkenaan perkembangan insiden tersebut dan maklumat terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.

Semalam, enam anggota Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850 disahkan cedera dalam insiden letupan yang berdekatan Stadium Saida, Lubnan sekitar jam 7.54 malam waktu Malaysia.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan melaporkan, kejadian berlaku ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

“Daripada jumlah itu, lima anggota melibatkan Malbatt 850-12 mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang cedera di bahagian tangan (suspected closed fracture left arm).

“Seorang lagi membabitkan anggota Malbatt 850-11 juga mengalami cedera ringan. Anggota yang cedera di tangan telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan Malbatt 850-11,” katanya.

Tambah Markas ATM, letupan itu telah menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut.

Kejadian itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas yang membawa anggota Malbatt 850-12. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast