Datuk N Sivakumar Nadarajah.

KUALA LUMPUR – Wakil rakyat terutamanya dalam kalangan masyarkat India digesa untuk tidak terlalu taksub memuji inisiatif yang hanya berbentuk penyelesaian sementara dan tidak fokus dalam meningkatkan kehidupan golongan memerlukan.

Menurut Presiden dan Penaung Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar, terdapat segelintir wakil rakyat semasa membahaskan Belanjawan 2025 dilihat hanya ‘gah’ bercakap dan memuji inisiatif-inisiatif bersifat bantuan sementara.

Kata beliau, belanjawan untuk masyarakat India yang sentiasa disebut sebagai antara komuniti miskin tegar sepatutnya menekankan kepentingan untuk meningkatkan taraf kehidupan kaum itu dan bukannya sekadar pemberian bantuan sementara setiap masa.

“Saya bukan tuding jari tetapi mohon sedikit pencerahan dan juga komitmen dalam memperkasakan masyarakat India di negara ini, janganlah kita hanya bercakap pada setiap masa.

“Merujuk kepada penggulungan oleh Ahli Parlimen Sungai Siput, YB Kesavan, beliau lebih teruja bercakap tentang inisiatif sementara dan bukannya solusi jangka panjang. Antara disebut beliau ialah bantuan Rahmah yang diberikan kepada 700,000 penerima kaum India.

“Bantuan ini hanya membantu meringankan beban buat sementara waktu, tetapi bukan penyelesaian mampan. Sepatutnya wakil rakyat juga lebih agresif dalam menumpukan usaha meningkatkan pendapatan kaum India terutamanya yang duduk luar bandar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Sivakumar lagi, peruntukan belanjawan bukan sahaja untuk ringankan beban sebaliknya menyokong pembangunan sosioekonomi serta peningkatan modal insan masyarakat India.

“Belanjawan 2025 dengan peruntukan sebanyak RM421 bilion ini, yang diunjurkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5.5 peratus, turut memperlihatkan komitmen kerajaan kepada masyarakat India melalui peruntukan RM130 juta bagi MITRA dan TEKUN. Terima kasih. 

“Tetapi pada masa sama, kita perlu dana yang lebih besar dan pelbagai bagi memastikan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat India di seluruh negara terus dipertingkatkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Sivakumar yang juga Bendahari Agung MIC menegur Kesavan yang seolah-olah memberi gambaran bahawa kerajaan hari ini telah mengusahakan dana pendidikan untuk diberikan kepada AIMST dan Kolej Tafe.

“Hakikatnya ini tidak benar kerana dana pendidikan yang diberikan ini sudah diusahakan MIC sejak dulu lagi dan mendapat komitmen tidak terhingga dalam memperkasakan pendidikan khasnya pelajar-pelajar B40 kaum India sejak dulu lagi.

“Perdana Menteri ke-8 dan ke-9 terdahulu juga telah banyak menyumbang kepada komitmen ini sejak dulu lagi. Daripada kita asyik puji memuji, adalah lebih baik untuk fokus dalam mencari penyelesaian memperkasakan untuk jangka panjang,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast