PUTRAJAYA – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Pasangan tersebut dilihat meninggalkan bangunan suruhanjaya itu pada jam 1.58 petang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam.
Difahamkan, proses merakam keterangan mereka adalah berkait dengan dokumen serta beberapa transaksi didakwa meragukan.
Turut hadir adalah peguam pasangan itu, Shaarvin Raaj Selva Kumar.
Vivy dan suami hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Ia susulan siasatan membabitkan pasangan terbabit berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.
Vivy dan Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, baru-baru ini.
Semalam, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.
Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.
Kelmarin kediaman milik pasangan suami isteri itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur digeledah pegawai SPRM.
Pengeledahan berakhir sekitar pukul 8.00 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000. – MalaysiaGazette