PUTRAJAYA – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk hari keempat bagi direkod keterangan.

Pasangan suami isteri itu tiba pukul 9.13 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam.

Vivy dan suami hadir ke Ibu Pejabat SPRM sejak Selasa lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Ia susulan siasatan membabitkan pasangan terbabit berhubung laporan kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam FashionValet berjumlah RM43.9 juta.

Vivy dan Fadzaruddin antara sembilan individu yang dirakam percakapan susulan pegawai penyiasat menyerbu empat lokasi termasuk sebuah kementerian, baru-baru ini.

Semalam, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi akaun mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami Khazanah dan PNB dalam FashionValet.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata transaksi mencurigakan itu dikesan sejak 2018 hingga tahun lalu berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini.

Azam berkata, setakat ini pihaknya sudah merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

Kelmarin kediaman milik pasangan suami isteri itu di Mont Kiara, Kuala Lumpur digeledah pegawai SPRM.

Pengeledahan berakhir sekitar pukul 8.00 malam dan antara barangan yang disita termasuklah 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here